Thursday, 25 February 2016

                                                      NOVEL JEJAK MONPUS

Sinopsis
Sinopsis bab demi bab.

Bab
Sinopsis

Penyelamat Pus Pus
       Zahar seorang pemuda berusia 22 tahun amat gemar pada serangga sejak masih kecil lagi.  Kegemarannya itu tidak pula dibantah oleh ibunya, kerana Qistina berpendapat Zahar mewarisi minat bapanya.  Untuk menyokong minatnya itu, Zahar mempunyai bilik khas untuk menyimpan dan menjalankan eksperimen terhadap serangganya seperti ulat beluncas, kumbang, labah-labah dan kupu-kupu.  Zahar banyak menghabiskan masa berbual-bual dan memerhatikan serangga-serangga kesayangannya.  Minatnya ini amat bertepatan dengan pengajiannya di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi Malaysia.
      Zahar mempunyai seorang teman baik bernama Mawar yang juga merupakan rakan sekuliahnya. Semasa makan Zahar meminta izin  daripada ibunya untuk ke Taman Paya Bakau Tanjung Piai untuk mencari serangga spesies baru. Selesai makan tengah hari Zahar masuk ke bilik perpustakaan mininya.  Dia ingin membaca buku untuk mengkaji punca Pus Pusnya kurang aktif sejak akhir-akhir ini.  Hal ini kerana Zahar amat menyayangi Pus Pus yang ditemuinya dalam suatu ekspedisi pengembaraan di Hutan Lipur Gunung Pulai.







Hasrat Terpendam
      Untuk meneruskan hasratnya mencari spesies pengganti Pus Pus, Zahar berhasrat ke Pulau Pisang. Kononnya pada 1818, orang Acheh telah membuka Pulau Pisang untuk dijadikan penempatan. Namun mereka gagal menjadikan kawasan tersebut kawasan pertempatan akibat sering diganggu oleh kuasa mistik. Wak Buik, seorang pawang Bugis Riau, dipanggil untuk memulihkan keadaan itu dan dia berjaya melakukannya. Dia menanam pokok buah-buahan di tanahnya itu.  Apabila Wak Buik meninggal dunia, penduduk di situ berpindah ke tanah besar kerana mengelak ancaman lanun.
      Menurut Tuk Munir, arwah datuknya, pulau itu merupakan tempat tinggal orang bunian.  Nek Yah pula mengatakan di pulau itu terdapat sebuah gua yang tersimpan harta karun.  Mengikut pandangan Zahar, bentuk pulau itu kelihatan seperti orang sedang duduk berzikir.  Semasa menunggu kedatangan Mawar, Zahar membayangkan ketika dia sampai di pulau itu nanti, dia akan ditangkap oleh sekumpulan orang asli dan dibawa ke perkampungan mereka.  Di situ dia akan menemui pelbagai spesies hidupan baru.  Lamunannya terhenti apabila disapa oleh kekasihnya Mawar. Mawar ialah anak sulung daripada lima beradik.  Dia sangat bertanggungjawab terhadap adik-adiknya. Ayah Mawar, Encik Hassan merupakan peneroka di ladang kelapa sawit. Disebabkan harga sawit menurun, ayahnya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menambah pendapatannya. Mereka tinggal di Kampung Maju Jaya yang terletak tidak jauh dari rumah Zahar. Zahar teringat kisah pertemuan pertamanya dengan Mawar. Ketika itu Mawar terjatuh di depan keretanya di Fakulti Pendidikan Sains Hayat.  Zahar ingin membantu Mawar tetapi ditolak dengan baik oleh gadis itu.
           Mawar mengajak Zahar ke kedai buku untuk mencari bahan bagi mendapatkan maklumat untuk portfolio Sains Biologi mereka.  Setelah itu mereka pulang ke rumah.


Dilanda Misteri
     Zahar menghantar ibunya ke sekolah kerana bateri kereta ibunya rosak.  Faridah, seorang murid Qistina, menawarkan pertolongan untuk membawa beg yang berisi buku guru kesayangannya itu.  Qistina berhasrat untuk mengambil Faridah sebagai anak angkat kerana dia tidak mempunyai anak perempuan dan Faridah ialah seorang yang berhemah tinggi serta  tertib.  Faridah merupakan anak tunggal daripada keluarga pekebun.  Sebelum ke sekolah itu, dia bersekolah di  SMK Bentong, Pahang dan tinggal bersama neneknya.  Selepas PMR barulah dia berpindah ke Desa Mercu Jaya.  Suatu hari, Qistina ternampak Faridah berjumpa dengan seorang lelaki namun tanda tanya itu dipendamkan saja.  Faridah memberitahu lelaki itu ialah bapa saudaranya yang bertugas sebagai pensyarah di London apabila ditanya oleh Qistina pada suatu hari.
Kembara ke Tanjung Piai
     Sikap suka menyelidik terhadap sesuatu yang dimiliki oleh Azahar membolehkan dia mendapat anugerah inovasi dari UTM.  Sebenarnya dia telah menerbitkan banyak hasil penyelidikannya dalam jurnal.  Selain itu, dia juga berazam mencari pengganti spesies Pus Pus sebelum spesies itu pupus.  Untuk tujuan itu, dia mahu ke Tanjung Piai bersama Malcom, rakan sekuliahnya.  Selain itu, dia juga mahu mengkaji hutan bakau dan kepentingannya.  Di sana mereka menjumpai spesies baharu ulat bulu.  Apabila pulang dari Tanjung Piai, dia segera mengkaji dapatannya itu.










Meredah Hutan Kem Kaizen

     Zahar menyertai kursus Kembara Biologi Alam di Kem Kaizen untuk meneruskan penyelidikannnya.  Selesai kuliah pagi itu, dia dan Malcom didatangi Munira yang ingin mengajaknya menonton wayang.  Ajakan Munira ditolak secara baik.  Akibat kegelian sesuatu yang lembut dan hitam di pipinya, Munira terjatuh ke dalam kolam ikan keli.  Zahar masuk ke dalam kolam untuk menolong Munira.  Esoknya, ketika meneroka hutan sekeliling, Zahar terjatuh ke dalam gaung.  Fikri yang mendengar jeritan Zahar menaikkannya ke tebing dengan bantuan dua orang pemuda yang melakukan aktiviti redah hutan.  Luka Zahar tidak serius tetapi kepalanya mengeluarkan darah yang banyak.  Mawar merawat luka tersebut.  Apabila pulang, Qistina bimbang melihat keadaan anak kesayangannya itu.  Esoknya, Zahar menunjukkan spesies baharu ulat bulunya kepada Fitri dan Malcom yang datang melawatnya di rumah. 
Kejadian Misteri Di Pulau
     Kebanyakan penduduk Pekan Nanas bekerja di ladang getah, ladang sawit dan kebun-kebun.  Namun kedatangan pendatang asing menyekat rezeki rakyat tempatan.  Majikan lebih gemar memilih pendatang asing sebagai pekerja kerana upah mereka lebih murah daripada rakyat tempatan. Akibatnya, ada pemuda-pemuda yang terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat termasuklah Ripin.  Ripin pernah dipukul oleh Zahar kerana mencuri tong gas.  Kejadian itu menyebabkan Ripin menyimpan dendam terhadap Zahar. 
     Di rumah pula, Zahar masih memujuk Qistina agar membenarkannya ke Pulau Pisang.  Qistina bimbang kemalangan terhadap anaknya akan berulang.  Padanya, kedegilan Zahar sama seperti bapanya.  Dia teringat pada bekas suaminya dan kejadian yang menyebabkan mereka berpisah.  Selepas hidup sendiri, Qistina mendirikan rumah dua tingkat di atas tanah yang dibelinya di Kampung Maju Jaya.  Baharudin dikatakan tinggal di London untuk meneruskan pengajiannya pada peringkat Doktor Falsafah.  Qistina percaya lelaki yang ditemui Faridah tempoh hari ialah bekas suaminya.. 
     Setelah mendapat keizinan ibunya, Zahar bertolak ke Pulau Pisang bersama-sama Fikri dan Malcom.  Setelah dua jam menaiki bot merka sampai di pulau tersebut dan disambut oleh kera-kera liar yang hanya menghilangkan diri setelah ditakutkan oleh mereka.  Mereka terus meneroka pulau itu.  Untuk mencepatkan kerja, mereka berpecah.  Tidak lama kemudian, Zahar melihat baju  Fikri tersangkut pada pokok dan kasut Malcom berada di atas tanah tetapi kawan-kawannya itu tidak kelihatan.  Tiba-tiba bau busuk menusuk hidungnya dan dia ternampak seekor ulat bulu sebesar ular sawa.  Serentak itu angin bertiup kencang hingga memaksa Zahar menutup matanya untuk mengelakkan habuk.  Apabila angin berhenti dan mata di buka dia dapati ulat besar sudah hilang.  Yang ada hanya ulat bulu bersaiz biasa tetapi sangat cantik.  Ketika itu Fikri dan Malcom muncul.  Fikri terkejut kerana tadi dia melihat baju Fikri dan kasut Malcom saja.  Kedua-dua sahabatnya mengatakan bahawa Zahar bermimpi.
Penemuan Baharu
     Zahar berkurung dalam makmalnya.  Monarch, ulat bulu baharunya tidak lalu makan.  Zahar risau.  Setiap hari dia memantau perkembangan ulat bulu tersebut.  Setelah seminggu, Monarch sepatutnya menjadi rama-rama tetapi di dalam balang Monarch ialah seekor ulat bulu yang sangat cantik.  Zahar yakin ulat itu ialah spesies gabungan Monarch dan Pus Pus  yang dinamakan Morgan.  Dia gembira kerana kunjungannya ke Pulau Pisang amat berbaloi walaupun terdapat pelbagai perkara misteri berlaku.
Serangan Waktu Malam
     Sebulan kemudian, ulat bulu menyerang penduduk Kampung Maju Jaya pada waktu malam.  Ramai penduduk kampung mendapat penyakit gatal-gatal.  Walaupun pelbagai ubat dan petua diamalkan namun semuanya sia-sia.  Pada waktu malam, Morgan hilang dari balangnya.  Waktu siang, Morgan balik ke balangnya semula.  Ripin mengetuai penduduk kampung datang ke rumah Qistina.  Mereka menuduh Zahar sebagai punca wabak ini kerana minatnya memelihara ulat bulu.  Pak Naib sebagai ketua kampung datang untuk.memenangkan keadaan,                   Dua hari kemudian, Unit Forensik Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor datang mengeledah makmal Zahar.  Sampel-sampel ulat yang menyerang penduduk turut dibawa ke makmal Jabatan Kesihatan.  Serangan ulat makin serius tetapi rumah Zahar tidak diserang ulat.  Beberapa hari kemudian, Zahar diarahkan ke balai raya untuk memberi penjelasan kepada penduduk kampung tentang serangan ulat bulu.  Ketua kampung mencadangkan Zahar mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.  Zahar berjanji untuk mencari jalan penyelesaian.
Tercetus Perselisihan.
     Warung kopi Pak Mail menjadi tempat orang kampung berbual tentang masalah yang melanda kampung mereka.  Ripin menghasut orang kampung menyalahkan Zahar.  Pergaduhan antara Ripin dan Zahar tercetus apabila Zahar ke warung tersebut untuk membeli makanan.  Walaupun Ketua Kampung cuba meleraikan pergaduhan tersebut tetapi Ripin sempat mencederakan Zahar dengan pisau lipatnya sehingga terpaksa dihantar untuk mendapatkan rawatan..
Merisik Khabar.
     Di hospital, Mawar melawat Zahar dan menasihatkannya agar berehat supaya cepat sembuh.  Setelah keluar dari hospital, Mawar sekali lagi melawat Zahar.  Mereka berbincang tentang kehilangan Morgan pada waktu malam.  Zahar menyatakan firasatnya tentang penunggu Pulau Pisang yang marah kerana haknya diambil tetapi andaian itu dirasionalkan oleh Mawar dengan mengatakan bahawa ulat bulu itu membiak di luar sana.
Misteri Terjawab.
     Zahari membuat kajian melalui internet.  Dia dapati pada zaman revolusi perindustrian, spesies rama-rama bintik terang berkurang bilangannya manakala spesies rama-rama bintik gelap pula bertambah. Di kampung itu, kilang sawit hanya beroperasi pada waktu malam dan kesimpulannya, asap terowong penapis kilang telah merangsang ulat bulu membiak.  Tambahan pula Morgan hanya hilang pada waktu malam.  Malam itu Zahar ke makmalnya.  Morgan ada di sarangnya.  Tiba-tiba cahaya biru muncul dari sarang dan Morgan mula terbang dan hilang dalan kegelapan malam.  Kini dia insaf kerana hobinya telah menyusahkan penduduk kampung kerana merangsang ulat bulu membiak.  Selain gatal-gatal kulit, kanak-kanak yang terhidu racun serangga yang digunakan untuk memusnahkan ulat bulu menyebabkan mereka mendapat radang saluran pernafasan serta radang paru-paru dan selaput mukosa.  Penduduk kampung juga boleh menghidap batuk dan sesak nafas.  Akibatnya klinik kampung itu terpaksa beroperasi 24 jam..  Wartawan yang membuat liputan juga menambah-nambah cerita untuk melariskan jualan akhbar mereka.. 



Mangsa Baharu.
     Pagi itu, semasa Pak Alias dan isterinya, Mak cik Habibah ke kandang kambing, mereka dapati enam ekor anak kambing telah mati.  Terdapat benda hitam melekat pada badan kambing-kambing tersebut.  Kini penduduk kampung mulai bimbang kerana musibah ini bukan hanya menyerang manusia tetapi juga haiwan ternakan.  Namun ada juga yang mengambil kesempatan dalam situasi ini.
Demam Perasaan
      Dalam Program Perkampungan Ilmu, Umar, seorang muridnya memberitahu Qistina, dia tidak menyiapkan kerja sekolah kerana menjaga kambingnya yang beranak.  Dia juga perlu menyabit rumput untuk kambing-kambingnya.  Umar lebih mementingkan kambing daripada pelajarannya.  Malam itu, Qistina ke rumah Umar untuk berjumpa ayah Umar.  Adik Umar memberitahu bahawa ayah mereka masuk hospital kerana diserang ulat bulu.  Kambing-kambing mereka juga mati kerana diserang ulat bulu. Qistina semakin bimbang tentang fenomena ini dan keselamatan Zahar.  Dia terfikir untuk menetap di Alor Gajah buat sementara waktu.





Ke Pulau Lagi.
     Zahar bermimpi tentang lembaga hitam lagi.  Apabila tersedar,dia segera mandi.  Dia mahu segera memujuk Fikri mengikutnya ke Pulau Pisang.  Pada mulanya, Fikri enggan tetapi setelah dipujuk oleh sahabatnya itu, dia bersetuju.  Esoknya mereka ke Pulau Pisang.  Ketibaan mereka disambut oleh juraian hujan.  Setelah beberapa lama meredah hutan, mereka terlihat beberapa ekor ulat bulu spesies Morgan sedang makan daun-daun hijau.  Dalam hatinya terdetik mungkin inilah daun yang disebut oleh lembaga hitam dalam mimpinya.  Beberapa ekor ulat di atas tanah juga menuju ke arah daun lebar  yang tidak berbatang itu.
Dendam Masih Membara
     Ripin marah kerana daun benih sawit yang baru bercambah dimakan oleh ulat.  Dia menyalahkan Zahar atas semua musibah ini.  Dia lebih bimbang kerana wang pendahuluan daripada Tauke Ban Heng sudah diambilnya.  Ripin ke rumah Zahar.  Dia mahu bersemuka dengan Zahar  Akibat tidak sabar, dia menumbuk Zahar tetapi Zahar dapat menewaskannya.  Peristiwa ini segera tersebar di kampung itu.  Penduduk kampung berpendapat Zahar dan ulat-ulatnya mesti diusir.  Fikri dan Zahar berbincang untuk menyelasaikan masalah kampung tersebut.  Mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan terhadap Morgan.. 
Misi Baharu
      Zahar termenung panjang di dalam makmalnya.  Dia teringat kata-kata ibunya yang menyuruhnya mencari jalan penyelasaian masalah tersebut.  Zahar teringat kenangan bersama ayahnya yang mempunyai kekasih lain dan menimbulkan kemarahan di hatinya namun ibunya menasihatinya supaya tidak menderhaka pada ayahnya kerana masalah ini ialah masalah ayah dan ibunya.  Setelah pasangan ini berpisah segala urusan keluarga dipikul oleh ibunya dengan tabah.  Sebelum ke Alor Gajah, ibunya berpesan agar Zahar memusnahkan makmalnya.  Hal ini adalah untuk mengelakkan orang kampung mengganggu keluarga mereka lagi.  Dalam makmal, Zahar menghasilkan penawar menggunakan cecair daripada badan Morgan.  Penyelidikan itu dijalankan berdasarkan kata-kata yang didengarnya dalam mimpinya dahulu.
Selamat Tinggal Morgan
     Malam itu, Zahar tertidur di sofa.  Pada pagi esoknya, dia segera melihat hasil eksperimennya malam tadi.  Dia menyemburkan sejenis cecair pada Morgan.  Kepulan asap putih dan hijau kekuningan keluar daripada badan Morgan menyebabkan ulat itu tidak berdaya dan akhirnya mengeras.  Tiba-tiba dia dikejutkan bunyi kuat seperti sesuatu jatuh ke tanah.  Dia tidak menyangka apa-apa.  Apabila hendak mengunci pintu makmal, kunci itu terlepas dari tangannya dan dia ternampak puntung rokok di tanah.  Dia kehairanan dan cuba mengaitkan bunyi benda jatuh dengan puntung rokok tersebut.

Tertewas.
     Zahar memberitahu Fikri bahawa dia telah mencipta penawar walaupun terpaksa memusnahkan Morgan kerana spesiesnya akan membiak dan merangsang pembiakan ulat bulu berbintik hitam.  Zahar memberitahu bahawa daun lebar makanan Morgan di Pulau Pisang boleh dijadikan penawar.  Pokok itu perlu ditanam secara intensif di kawasan yang sesuai,  Fikri cuba mententeramkan Zahar akibat kematian, Morgannya itu.  Selepas tamat kuliah Zahar pulang untuk melihat penawar yang diciptanya.  Ibunya tiada di rumah dan dia berharap ibunya gembira mendengar berita dia sudah berjaya menghasilkan penawar serangan ulat bulu.
      Di dalam makmal, dia terkejut bahan uji kaji dan buku formulanya sudah hilang,.  Zahar menghubungi Fikri dan mereka berjumpa di kopitiam.  Mereka menyangka semua ini angkara Ripin.  Walau bagaimanapun, mereka ingin menyiasat perkara ini dahulu.  Mereka mengeledah makmal itu dan menjumpai sekeping resit daripada Syarikat Ban Hen.  Zahar mahu ke gudang tapak semaian untuk menyiasat.  Malam itu mereka dapati ada bahan seperti tepung dalam gudang itu.  Esoknya Zahar membuat laporan polis tentang kehilangan bahan dan peralatan makmalnya.  Polis membuat intipan di stor tapak semaian benih cambah sawit.  Seminggu kemudian, Ripin diberkas di rumahnya berhubung sindiket penjualan benih cambah benih secara haram dan pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation Berhad dan FELDA Agriculture Services Bhd.   Turut diberkas ialah Jusoh dan Ahmad.  Polis turut menjumpai buku  formula dan serta hasil eksperimen Zahar.  Perkara ini amat mengembirakan Zahar.
Pertemuan Yang Tidak Terduga.
     Majlis Perbandaran Johor dan Jabatan Kesihatan Pontian menjalankan operasi Nyah Ulat Bulu.  Mereka menyembur menggunakan agen Biologi yang dicipta oleh Zahar.  Masalah ulat bulu pun selesai.  Zahar menerima ucapan tahniah bertubi-tubi.  Pengurus inovasi UTM memaklumkan mereka akan mengkormersialkan ciptaan Zahar.  Ciptaannya itu dinamakan MONPUS.  Sebagai penyelidik, dia akan cuba mendapatkan perlindungan harta intelek.  Dia amat bersyukur dengan kejayaan ini.  Dia akan menerima RM50,000.  Seorang tokoh dari Universiti Oxford akan tiba bersama delegasi Menteri Sains dan Inovasi untuk melancarkan produk MONPUS, harta intelek Zahar Baharudin.  Apabila tetamu masuk Qistina terkejut melihat tetamu itu ialah bekas suaminya sehingga paluan gong mengejutkannya daripada lamunan. 
     Selepas itu Zahar diumumkan sebagai penerima anugerah Biasiswa Kerusi Canselor mewakili pelajar Asia.  Profesor Dr. Baharudin dijemput untuk menyampaikan anugerah tersebut.  Qistina terharu kerana hari itu, dia menyaksikan seorang ayah menyampaikan anugerah kepada anak yang tidak dikenalinya.  Naluri Zahar mengatakan bahawa lelaki itu ialah ayahnya.  Perkataan ayah terpacul daripada mulutnya.  Dr. Baharudin memeluk anaknya.  Dr. Baharudin tidak berselera menjamah hidangan kerana memikirkan anak yang dibanggakannya itu.  Dia segera mencari Zahar dan Qistina.  Dia menyapa Qistina dan memohon maaf atas kesilapannya yang lalu.  Qistina diperkenalkan dengan Irdiana, isterinya.  Di dalam dewan, Qistina terdengar bisikan Dr. Baharudin yang melamarnya semula.  Bisikan itu juga didengari oleh Zahar yang yang amat berharap agar ibunya menerima lamaran tersebut.  Baginya, kecintaan terhadap ulat bulu dan dunia penyelidikan menyambung semula ikatan yang terlerai.   


 TEMA: Kecintaan seorang pemuda terhadap ilmu Sains dan dunia penyelidikan
Contohnya, Zahar, seorang pemuda yang berusia 22 tahun amat menyukai pelbagai jenis serangga dan gemar melakukan pelbagai penyelidikan terhadapnya.  Minatnya itu tersemai sejak dia masih kecil lagi.  Dia banyak mengumpul serangga seperti kumbang, ulat beluncas dan labah-labah.  Dia juga mempunyai sebuah makmal khas untuknya memupuk minatnya dalam bidang penyelidikan terhadap serangga-serangga yang dikumpulnya.  Dia kerap menghabiskan masa lapangnya di makmalnya itu melakukan penyelidikan.


Persoalan
Persoalan
Contoh
  1. Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
Qistina agak keberatan melepaskan Zahar pergi ke Pulau Pisang untuk mencari spesies ulat bulu Pus Pus kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu.  Hal ini kerana Zahar pernah cedera semasa mengikuti Perkhemahan Kembara Biologi Alam.  Keadaan ini menunjukkan Qistina amat menyayangi anak tunggalnya itu.
  1. Kepentingan ilmu dalam kehidupan
Zahar telah mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang Sains Hayat untuk mencipta penawar bagi menyelesaikan masalah ulat bulu yang melanda Kampung Maju Jaya
  1. Sifat suka berdendam dalam masyarakat
Ripin menaruh dendam terhadap Zahar yang telah menangkapnya mencuri tong gas.  Walau bagaimanapun, kejadian tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.  Sejak kejadian itu, dia sentiasa mencari peluang untuk membalas dendamnya.
  1. Kebijaksanaan ketua masyarakat semasa membuat keputusan
Tok Ketua Kampung membuat keputusan yang tepat dengan menasihati penduduk kampung agar tidak membuat keputusan secara terburu-buru untuk mengelakkan pertelingkahan tercetus.  Baginya sesuatu perkara boleh dibawa berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaiannya.
  1. Pengamalan ajaran agama dalam kehidupan
Penduduk kampung merancang mengadakan solat hajat sebagai salah satu ikhtiar untuk mengatasi serangan ulat beluncas di kampung mereka..















   


SINOPSIS BAB DEMI BAB
BAB
SINOPSIS
1
Pak Yusuf gelisah menanti sarapan pagi daripada isterinya Mak Temah. Kegelisahannya itu dapat dikesan oleh anak saudaranya Zahar yang sedang menggergaji kayu di bengkel kayu milik Pak Yusuf.  Mak temah datang membawa dulang berisi air kopi dan dua pinggan bihun. Mak temah meminta maaf daripada Zahar kerana lewat menghantar sarapan dan Zahar menyatakan Mak Temah perlu meminta maaf kepada Pak Yusuf kerana dari tadi menunggu air kopi yang merupakan minuman kegemarannya setiap pagi. Mak Temah berlalu dengan pesanan daripada Pak Yusuf supaya menyediakan makan tengah hari dan juga mempelawa anak buahnya Zahar makan tengah hari bersama mereka. Zahar mencadangkan supaya rak kasut yang sedang mereka buat ini di siapkan lebih awal supaya masalah ketiadaan tempat meletak kasut di surau dapat diatasi. Pak Imam pasti sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Pak Yusuf kerana menyiapkan rak kasut lebih awal daripada yang di minta. Pak Yusuf bukanlah tukang kayu yang berkelulusan tinggi, dia hanya belajar sendiri untuk menjadi tukang kayu yang mahir. Hasil tukangannya dapat dijual dengan harga yang murah dan berkualiti. Pak Yusuf bertanyakan Zahar mengenai permohonan ke IKM namun Zahar masih lagi menunggu keputusan yang dijangka keluar minggu hadapan. Zahar menyatakan jika suatu hari dia menjadi seorang tukang kayu yang mahir dia akan memberitahu orang yang pendorong utama dia berjaya dalam bidang ini adalah bapa saudaranya Pak Yusuf.




2
Mak Kiah tersenyum melihat kepulangan Zahar terus bertanya kenapa Zahar tidak pulang makan tengah hari di rumah. Zahar makan di rumah Pak Yusuf kerana tidak sampai hati menolak pelawaan bapa saudaranya itu. Mak Kiah menunjukkan sekeping surat yang dihantar Posmen pagi tadi. Dari fizikal surat tersebut Zahar dapat mengagak surat tersebut daripada IKM dan setelah dibuka Zahar tersenyum kerana telah ditawarkan mengikuti kursus pertukangan perabut di IKM Sungai Petani.  Setelah selesai solat magrib, Zahar, Bakar dan Rahim duduk di bangku luar masjid. Bakar mengusahakan kedai peninggalan arwah ayahnya dan sedang berusaha mengembangkan perniagaannya. Zahar memberitahu rakannya bahawa dia telah ditawarkan untuk ke IKM dan rakanya mengucapkan tahniah kepada zahar. Bakar mengusik Zahar tentang hubungannya dengan suhaili yang merupakan rakan rapat Zahar sewaktu di bangku sekolah. Suhaili kini melanjutkan pelajaran di ITM dan sudah berada tiga dan menunggu keputusan peperiksaan akhir. Zahar membaca semula surat tawaran memasuki IKM yang terletak di atas meja. Surat itu dengan pantas mengembalikan ingatanya ke alam persekolahan yang telah ditinggalkannya lebih tiga tahun lalu. Namun Zahar cepat sedar bahawa pelajaran yang akan diikutinya nanti amat jauh berbeza dengan pelajaran yang pernah diikutinya semasa di sekolah menengah dulu.
3
Zahar gelisah mencari jalan untuk berhubung dengan suhaili. Kebetulan pada waktu itu jaringan telefon telah di pasang di kampung mereka. Orang yang berkemampuan seperti Pak Karim iaitu ayah kepada Suhaili telah memasang telefon di rumah mereka. Zahar berjaya menghubungi Suhaili dengan bantuan Rahim. Zahar dan Suhaili berjanji untuk berjumpa pada keesokan hari di City Point Alor Setar. Zahar terimbas kembali kenangan sewaktu berada di bangku sekolah. Suhaili seorang pelajar yang pandai tetapi pendiam. Sukar untuk pelajar lain terutama pelajar lelaki untuk dekat dengannya kecuali Zahar. Mereka berdua sering diusik oleh rakan-rakan sekelas. Zahar dicabar oleh Suhaili untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Beberapa hari sebelum peperiksaan Zahar demam dan semasa peperiksaan berlangsung Zahar masih kurang sihat. Dia tidak mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Zahar membayangkan reaksi Suhaili setelah tahu yang dia akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.
4
Zahar ke Alor Setar untuk berjumpa dengan Suhaili dengan menaiki bas. Zahar sengaja datang awal untuk duduk-duduk sambil minum di sebuah warung. Mereka sengaja berjumpa di Alor Setar supaya tidak di ketahui oleh orang kampung dan tidak mahu perjumpaan mereka boleh menimbulkan cerita yang kurang enak. Zahar mundar-mandir di ruang legar tingkat bawah City Point sementara menuggu kehadiran Suhaili. Ketika Zahar berdiri di tepi tangga menghadap jalan, kelihatan Suhaili sedang melintas jalan dan datang ke arahnya. Suhaili yang berpakaian skirt berwarna merah jambu, kembang berkedut dan baju juga berkedut di bahagian hadapan cukup menarik hati Zahar. Mereka ke Restoran KFC yang terletak di sebelah kompleks MPKS. Selepas duduk membuat pesanan mereka bertanya khabar. Sambil menikmati hidangan Zahar menyatakan tujuannya berjumpa dengan Suhaili. Zahar memberitahu yang dia telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke IKM. Suhaili memandang rendah dan mempersoalkan cabaran yang pernah dilontarkannya kepada Zahar ketika di bangku sekolah dahulu. Zahar menjelaskan yang dia tidak pernah melupakan cabaran yang  pernah dibuat oleh Suhaili tetapi memberikan alasan bahawa ibunya tidak mampu untuk menampung pengajiannya. Zahar juga menyatakan walaupun gagal menyahut cabaran Suhaili dia tetap ingin membuktikan bahawa masih ada jalan lain untuk berjaya dalam hidup. Suhaili tetap dengan pendiriannya dan memperlekehkan hasrat Zahar. Suhaili tergesa-gesa membuat bayaran dan terus meninggalkan Zahar. Zahar berasa curiga dan mengikori Suhaili tampa pengetahuannya dan mendapati Suhaili menaiki kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tampan yang berusia lingkungan tiga puluhan dan terus meninggalkan tempat tersebut.

5
Pak Yusuf menegur sikap zahar yang dari pagi kelihatan muram. Pak Yusuf cuba bertanya tentang masalah Zahar yang menyebabkan dia bersikap demikian. Zahar menyembunyikan sebab sebenar dan memberikan alasan yang lain. Mak Temah bertanya Zahar kemana Zahar pergi semalam dan tidak kelihatan. Zahar menyatakan yang dia ke Alor Setar untuk membeli barang keperluan sebagai persediaan ke IKM. Pak Yusuf mempelawa Zahar untuk makan tengah hari di rumahnya.
6
Zahar ditemani Pak Yusuf pergi ke Sungai Petani dengan menaiki teksi kepunyaan Pak Usin untuk mendaftar di IKM. Teksi tersebut juga dinaiki oleh Tauke Lim yang mempunyai hal mustahak di Sungai Petani. Dalam perjalanan mereka bersembang mengenai masa depan pelajar lulusan ITM dan IKM. Peluang kerja bagi pelajar lepasan ITM dan IKM dikatakan mempunyai  peluang kerja yang baik dalam sektor kerajaan dan juga swasta. Ingatan Zahar terimbas kejadian Suhaili dan pemuda kacak di Alor Setar tempoh hari. Sesampainya di IKM Zahar terus menuju ke tempat pendaftaran. Setelah selesai mendaftar Zahar kembali mendapatkan Pak Yusuf. Kelihatan Pak Yusuf sedang duduk di bangku simen dengan seorang lelaki separuh umur, berbadan tegap dan bersongkok. Pak Yusuf memperkenalkan Zahar kepada Pak Cik Kamil yang sama-sama datang mendaftarkan anak perempuanya yang bernama Norimi. Ketika Norimi datang kepada mereka Pak Cik Kamil memperkenalkan Norimi kepada Zahar dan Pak Yusuf. Mereka berbual seketika dan seterusnya beredar ke asrama. Setelah mendapatkan kunci bilik Zahar dan Pak Yusuf bergerak ke asrama. Mereka tertarik dengan beberapa orang pelajar yang sedang berkerumun di hadapan papan kenyataan. Zahar membaca poster berkenaan minggu suai kenal pelajar baru yang perlu berkumpul di padang pada jam 230 petang. Zahar kembali melangkah di ikuti pak Yusuf dengan persoalan yang bermain di fikirannya mengenai minggu suai kenal tersebut.
7
Bermulanya kehidupan Zahar sebagai pelajar IKM. Pada waktu petang selepas pendaftaran bermula program oriantasi pelajar baharu IKM. Pelajar senior mengarahkan semua pelajar baru berkumpul di padang untuk tujuan gotong royong. Zahar bersama rakan-rakan baharunya membersihkan kawasan belakang IKM yang akan didirikan bangunan asrama baharu. Pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang di ketuai oleh seorang pelajar senior. Pelajar perempuan ditugaskan untuk mengangkat rumput yang telah ditebas untuk dibawa ke tempat pembakaran.  Selepas selesai gotong royong mereka diarahkan ke dewan makan untuk minum petang. Setelah selesai minum pelajar diberi masa untuk berehat dan menguruskan diri. Program disambung pada sebelah malamnya.
8
Minggu suai kenal sudah berakhir. Semua pelatih baru telah ditempatkan dalam kelas mengikut bidang kursus masing-masing. Cikgu Baharum, guru kelas Zahar memulakan kelas dengan memberi peluang kepada pelatih-pelatihnya untuk berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Seterusnya cikgu Baharum memberikan penerangan ringkas latihan Pertukangan Perabut. Zahar berasa kagum melihat peralatan yang serba lengkap di dalam bengkel. Cikgu Baharum membawa semua pelatihnya ke stor menyimpan  pelbagai jenis kayu dan papan bermacam-macam ukuran. Zahar dan pelatih-pelatih lain tertarik melihat deretan mesin yang terletak di sebelah stor itu. Pada akhir kelas, Cikgu Baharum membahagi-bahagikan alat pertukangan yang perlu kepada pelatih-pelatihnya. Cikgu Baharum menyampaikan sedikit nasihat kepada semua pelatih. Zahar berjanji pada dirinya untuk berusaha bersungguh-sungguh menjadi seorang pelatih yang berjaya dan membuktikan anggapan sesetengah orang yang memandang rendah terhadap lulusan IKM itu tidak benar. Selepas minum petan, Zahar berjumpa dengan Norimi untuk kali pertama sejak selesainya minggu suai kenal. Mereka berbual-bual sambil ditemani oleh Ramli dan Habsah. Mereka merancang untuk keluar ke Sungai Petani untuk membeli alat-alat lukisan untuk kegunaan Norimi dan Habsah.
9
Zahar pulang ke kampung pada pagi hari sabtu setelah beberapa minggu berada di IKM.  Zahar berasa pelik dengan suasana kampung setelah mula melangkah masuk ke kampungnya. Dua tiga orang laju berbasikal  menuju ke rumah Pak Karim. Di sudut halaman rumah Pak Karim yang luas itu kelihatan orang sedang memasak menggunakan kawah yang besar dan suasana agak riuh rendah. Zahar terfikir bermacam-macam perkara walaupun pada hakikatnya dia tidak mahu memikirkan hal keluarga Pak Karim. Zahar terus melangkah pulang ke rumahnya. Adiknya Zakri memaklumkan bahawa abang dan emaknya pergi ke rumah pak karim makan kenduri. Zahar menyalin pakaian dan terus turun untuk ke rumah Pak Yusuf. Rumah Pak Yusuf lenggan kerana Pak Yusuf dan isnterinya ke rumah Pak Karim. Zahar masuk kebangsal pertukangan Pak Yusuf melihat keadaan sekeliling yang tidak banyak berubah. Terdapat sebuah almari pakaian yang sudah berdiri tegak. Dia teringat akan pesanan Cikgu Baharum bahawa perabut yang bermutu tinggi bukan terletak pada ukiran yang unik tetapi juga pada kerja yang cermat, teliti, halus dan berseni. Zahir terbayang suasana kenduri di rumah Pak Karim. Zahar di sapa oleh Pak Yusuf yang baharu saja tiba di rumah. Pak Yusuf bertanyakan zahar bilakah dia sampai dan adakah dia pergi ke majlis kenduri di rumah Pak Karim. Zahar mengatakan yang dia baru sahaja tiba dan segan untuk ke majlis tersebut. Zahar terbayang bengkel baru yang lebih maju beroperasi di rumah Pak Yusuf. Lamunan Zahar putus dan dia melihat Mak Temah berjalan menuju ke arahnya. Mak Temah mengusik Zahar dan bertanyakan soal Suhaili. Mak Temah mengajak Zahar untuk makan nasi kenduri yang dibawa pulang dari rumah Pak Karim.
10
Setiap awal bulan, suasana di pejabat IKM agak sibuk. Zahar dan pelatih-pelatih berbaris menunggu giliran untuk mengambil wang imbuhan masing-masing. Setelah menandatanggani baucar, wang imbuhan sebanyak RM 200 yang diterimanya dengan perasaan gembira dan bersyukur. Dengan wang itulah dia menampung perbelanjaannya di IKM. Setelah mengambil imbuhan, Zahar segera keluar menuju ke tempat surat. Kelihatan Norimi dan Habsah sedang melihat sampul-sampul surat yang hampir memenuhi rak. Habsah menyatakan ada surat untuk Zahar. Norimi bertanyakan daripada siapa surat tersebut dan Zahar menjelaskan bahawa surat ini datangnya daripada adiknya di kampung. Norimi tidak berpuas hati dan merampas surat itu daripada Zahar untuk melihat sampulnya. Norimi menyatakan surat itu bercop posnya di Shah Alam dan tulisan orang perempuan sambil melirik senyuman kelat kepada Zahar. Zahar meminta semula surat itu daripada Norimi dan menafikan dakwaan Norimi itu. Perbualan mereka terhenti apabila pengetua keluar dari pejabat dan Zahar melangkah pantas menuju ke kelasnya. Zahar membelok ke tandas dan menatap sampul surat di tanganya. Dengan tidak sabar dia terus membuka sampul surat dan membacanya. Rupa-rupanya surat itu dikirim oleh suhaili. Isi surat tersebut menyatakan hasrat Suhaili untuk meleraikan ikatan hati kerana masing-masing memilih haluan yang berbeza. Suhaili juga menyatakan rasa hampa dengan jalan yang dipilih oleh Zahar dan beranggapan haluan yang dipilih oleh Zahar tiada masa depan. Niatnya untuk membuang air kecil terbantut disitu sahaja dan terus bergegas keluar dan berlajan pantas masuk semula ke kelasnya. Zahar meneruskan kerjanya menyiapkan sebuah kerusi. Sementara menunggu cikgu Baharum datang untuk melihat hasil kerjanya, fikirannya terbawa kembali pada surat yang diterimanya. Surat itu tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya terus menguatkan tekadnya untuk mencapai cita-citanya .Zahar berazam untuk membuktikan bahawa dia boleh menjadi manusia yang berjaya dalam hidup yang penuh pancaroba ini.
11
Norimi dan Zahar bertengkar mengenai surat yang diterima Zahar tempoh hari. Dengan rasa tidak puas hati Zahar memberikan surat tersebut untuk di baca oleh Norimi. Setelah selesai membaca barulah Norimi tahu perkara sebenar yang di hadapi Zahar. Norimi datang menghampiri Zahar yang ketika itu sedang berdiri menghadap padang memerhatikan rakannya bermain bola sepak. Zahar tidak menghiraukan Norimi. Norimi meminta maaf atas sikapnya yang suka mengusik Zahar mengenai surat tersebut. Zahar berharap agar Norimi berpuas hati dengan ini kandungan surat tersebut dan meminta Norimi menjadi penawar luka hatinya. Ramli menjerit memanggil Zahar dari tengah padang dan Maarof berlari-lari anak menghampiri zahar dan mengajak Zahar dan mengajaknya berlatih bersama kerana kekurangan pemain.
12
Bas yang membawa pasukan bola sepak IKM Sungai Petani dan penyokong-penyokongnya bergerak meninggalkan perkarangan IKM Alor Setar. Maarof sebagai ketua pasukan memuji Zahar kerana menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan persahabatan tersebut dan meminta rakan-rakan memberikan tepukan kepada Zahar.  Zahar dengan rasa rendah diri menyatakan kejayaan pasukannya bukan hanya bergantung kepada dirinya seorang tetapi kerjasama semua pemain dan penyokong-penyokong. Maarof juga meminta semua pemain turun berlatih untuk memperkemaskan permainan bagi menghadapi perlawanan akan datang.
13
Perlawanan timbal balik pertandingan bola sepak di antara pasukan bola IKM Alor Setar dan pasukan IKM Sungai Petani berlangsung sengit. Namun pasukan bola sepak IKM Sungai Petani memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0. Kemenangan mereka dibantu oleh ketangkasan Redzuan menjaga gawang dan sokongan pelatih dan tenaga pengajar yang memberikan sokongan di tepi padang. Pasukan bola sepak Sungai Petani tidak begitu meraikan kejayaan kerana menghormati pasukan lawan sehingga mereka pulang. Mereka merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pihak luar untuk mengeratkan perhubungan.
14
Sebelum bermulanya peperiksaan, semua kegiatan luar ditangguhkan sementara waktu. Semua pelatih gigih membuat persediaan untuk peperiksaan. Pelatih-pelatih baharu akan mengambil peperiksaan asas.  Zahar awal-awal lagi berazam untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Tiba hari peperiksaan semua pelatih awal-awal lagi sudah berada di dalam bengkel. Tanpa melupakan pesanan Cikgu Baharum, Zahar memulakan peperiksaan dengan tenang. Hari pertama peperiksaan berakhir,  Zahar berasa cukup puas hati dengan hasil kerjanya. Bila peperiksaan di sambung keesokan harinya, Zahar semakin yakin dengan kebolehan dirinya. Dua minggu selepas peperiksaan, semua pelatih bercuti semester selama tiga minggu. Cuti adalah peluang yang dinantikan oleh Zahar untuk mempraktikkan kemahiran yang ditimbanya di IKM bagi membantu Pak Yusuf di bengkelnya.
15
Kesempatan bercuti di kampung memang menggembirakan Zahar. Apatah lagi keadaan ibunya sihat dan dapat bekerja dengan baik. Cuma mengusik hatinya apabila terpaksa melintasi rumah Suhaili untuk sampai ke rumahnya.Walaupun hatinya terusik, pada masa yang sama usikan itu menguatkan lagi awamnya untuk mengorak langkah hingga ke mercu kejayaan. Selepas sarapan pagi, Zahar terus ke rumah Pak Yusuf. Pak Yusuf terkejut dengan kepulangan Zahar dan mereka berbual-bual dengan mesra. Kemunculan Mak Temah membantutkan perbualan mereka. Mak Temah juga terkejut dengan kedatangan Zahar pada pagi itu. Pada masa yang sama gembira kerana Zahar dapat membantu Pak Yusuf yang akhir-akhir ini banyak mendapat tempahan membuat perabot.
16
Setelah tiga bulan menunggu denga penuh debaran, keputusan peperiksaan yang di nanti-nantipun diumumkan. Zahar telah lulus dengan cemerlang. Cikgu Baharum juga tersenyum girang kerana hanya seorang sahaja pelatihnya gagal dan dikehendaki mengulang semula peperiksaan. Cikgu Baharum memberi nasihat kepada semua pelatihnya agar tidak lalai dan berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai. Suasana gembira dengan keputusan peperiksaan bukan sahaja tercetus dalam kalangan pelatih-pelatih Pertukangan Perabut tetapi juga semua pelatih yang mengambil peperiksaan asas. Norimi juga mendapat keputusan yang cemerlang.
17
Enam bulan yang dilalui terasa cukup singkat. Pelatih-pelatih perlu bekerja keras menjalani latihan yang lebih intensif kerana akan menduduki dua peperiksaan dalam masa yang singkat. Zahar tidak menghadapi sebarang masalah. Doa restu daripada ibu dan dorongan daripada Pak Yusuf membuatkan fikirannya sentiasa tenteram dan bersemangat untuk berjaya dalam peperiksaan berikutnya. Dalam masa yang sama, ingatannya pada Suhaili kian luput. Pengalaman pertama semasa menduduki peperiksaan asas, bayak membantu Zahar dan rakan-rakannya ketika menduduki peperiksaan peringkat pertengahan. Peperiksaan akhir  sijil IKM pula diadakan selepas tiga minggu peperiksaan peringkat pertengahan. Zahar dan rakan-rakannya menduduki peperiksaan itu dengan lebih yakin. Seminggu sebelum bermulanya cuti semester ketiga, pelatih-pelatih di maklumkan mengenai latihan di dalam loji yang diwajibkan kepada mereka. Zahar yang tidak banyak kerenah dan sanggup di hantar kemana sahaja, menerima dengan senang hati tawaran latihan di dalam loji di sebuah kilang perabot di Kemunting, Perak. Begitu juga dengan Ramli, Habsah, dan Norimi yang mendapat tempat latihan dalam loji pilihan masing-masing. Satu majlis perpisahan telah diadakan secara sederhana sahaja. Pengetua berucap memberikan kata-kata nasihat kepada pelatih-pelatih yang telah tamat kursus mereka. Majlis peperiksaan yang diatur secara tidak formal pada malam itu berlangsung dalam suasana yang mengharukan kerana mengenagkan kemesraan yang terjalin selama ini akan berakhir dengan peperiksaan.
18
Selama tiga minggu bercuti di kampung, Zahar sibuk dengan kerjanya. Setelah seminggu membantu ibunya, barulah zahar berpeluang pak Yusuf pula. Selepas menghabiskan cuti, Zahar ke Taiping untuk menjalani latihan dalam loji di kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad. Ketua Unit Personel menyambut ketibaan Zahar dengan mesra. Seterusnya Zahar diperkenalkan kepada Encik Manaf, Penyelia Unit Pengeluaran. Zahar di bawa ke blok pengeluaran untuk melihat operasi pengeluaran perabot. Pada waktu rehat tengah hari, Zahar berpeluang berkenalan dan beramah mesra dengan pekerja kilang.  Di situlah Zahar berkenalan dengan Razali yang mengajaknya tinggal bersama-sama.
19
Suhaili gelisah apabila terpandang Zahar dari dalam pejabatnya. Suasana pejabat yang dingin ibarat haba pada waktu itu. Perasaan Suhaili bercampur baur dan dia berasa tidak bersemangat untuk meneruskan kerjanya.  Suhaili  berjalan ke bahagian Personel yang terletak tidak jauh dari bahagian pemasaran untuk berjumpa Miss Ooi, Ketua Unit Personel  bertanyakan tentang Zahar.
20
Setelah dua minggu mengikuti latihan, Zahar sudah dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan suasana kerja di kilang. Dia mudah didekati dan hubunganya dengan rakan-rakan sekerja begitu mesra walaupun baru dua minggu bertegur sapa.  Zahar bertuah dapat berkawan dengan Razali yang rajin dan tidak banyak kerenah. Zahar yang ditugaskan di bahagian pemasangan, bekerja dengan tekun. Zahar dikejutkan oleh kedatangan Encik Manaf yang memaklumkan Ketua Unit Pemasaran ingin berjumpa dengannya. Zahar terus ke bahagian pemasaran dengan perasaan berdebar dan tertanya-tanya. Zahar amat terkejut kerana orang yang ingin berjumpanya ialah kawan lamanya, Suhaili. Zahar serius dalam perbualan mereka namun Suhaili kelihatan cuba untuk senyum dan berbaik-baik. Kerana berselisih pendapat Zahar dan Suhaili bertengkar sehingga menyebabkan Zahar bangun meninggalkan bilik dengan tergesa-gesa.
21
Zahar duduk di meja ruang tamu menghirup kopi setelah pulang dari kerja. Dia teringat rakan-rakannya di kampung  dan juga Norimi yang merupakan kawannya di IKM. Surat tidak sempat untuk di hantar kerana dia tidak  ada perasan untuk menulis surat. Ketika mula menulis, Razali tiba dengan membawa bungkusan plastik berisi kuih. Zahar berhenti menulis dan  menikmati minum petang bersama Razali. Ketika minum bersama, razali bertanyakn Zahar yang kelihatan muram setelah berjumpa dengan Penolong Ketua Unit Pemasaran. Pada mulanya Razali ingin merahsiakan hal tersebut tetapi akhirnya terpaksa menceritakan perkara yang sebenar kepada Razali.
22
Setelah berbulan bulan menjalani latihan, Zahar menerima berita gembira yang dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun dengan mendapat pangkat satu. Zahar sedar Suhaili cuba berbaik semula dengannya tetapi dia masih mampu mengelak daripada berselisih dengan Suhaili. Dia juga tahu Suhaili masih berhasrat untuk menemuinya. Bukan dia tidak mahu menemui Suhaili, tetapi bagi Zahar tiada gunanya dia menemui Suhaili untuk berbual kosong kerana hal tersebut hanya akan mengembalikan kenangan lama. Kenangan lama akan tetap di padamkan dengan apa jua cara. Dia lebih senang berehat selepas pulang dari kerja. Jika tidak berjoging atau ke bandar Taiping untuk membeli keperluan, masanya dihabiskan dengan menulis dan membalas surat kawan-kawannya. Zahar lebih tertarik membaca surat daripada Norimi yang penuh dengan kata-kata puitis  dan ada persoalan yang sukar untuk dijawab. Pengalaman telah mengajarnya supaya tidak terlalu emosional. Dia tidak mahu terperangkap dalam sangkar rasa yang boleh menggoyahkan cita-cita yang belum tercapai. Tempoh enam bulan menemui kesudahannya. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kenangan manis dan pahit sepanjang menjalani latihan di dalam loji. Zahar terharu apabila diraikan dalam satu majlis ringkas yang di adakan untuknya. Selepas majlis itu berakhir, dia sempat bertemu dengan Suhaili.
23
Setelah berfikir masak-masak Zahar membuat keputusan bahawa bengkel perabot yang akan didirikannya mestilah terletak atas tanah milik ibunya sendiri. Zahar bersyukur dengan pembangunan kampungnya dan berasa rugi jika pembangunan yang di salurkan oleh kerajaan tidak di manfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat. Ibunya cukup gembira mendengar perancangannya untuk membina bengkel perabot di halaman rumah mereka dan Pak Yusuf tidak membantah. Zahar berasa dirinya cukup bernasib baik kerana pinjaman yang dimohonnya lulus dalam masa yang singkat. Sumbangan Pak Yusuf dan wang elaun serta saguhati semasa menjalani latihan di dalam loji dahulu membolehkannya membina sebuah bengkel lengkap dengan mesin utama. Masyarakat kampung bekerjasama mendirikan bengkel tersebut dan disajikan dengan jamuan makan tengah hari.
24
Bengkel Perabot Meniti Impian semakin dikenali ramai setelah tersiarnya rencana “Kejar Kejayaan Selepas Dihina Kekasih”. Zahar memilih nama “Meniti Impian” kerana nama itulah paling sesuai bagi mendukung makna yang besar dan tersendiri pada dirinya. Perniagaanya semakin maju, malah Zahar juga menawarkan tiga tempat di bengkelnya kepada pelatih Pertukangan Perabot yang terlibat dengan latihan di dalam loji. Pak Yusuf memainkan peranan penting dalam membantu Zahar memasarkan perabutnya. Zahar sendiri juga berusaha untuk mendapatkan pasaran luar bagi mengembangkan lagi perniagaannya. Pihak mara juga cuba membantu untuk memasarkan barangan pengusaha-pengusaha perabut bumiputera. Ketika berehat di ruang tamu bersama Pak Yusuf selepas makan tengah hari, posmen tiba dan menghulurkan dua pucuk surat kepada zahar. Zahar mendapat dua pucuk surat daripada Suhaili dan Norimi. Pak Yusuf dan Mak Kiah bertanyakan Zahar dari mana datangnya surat tersebut. Zahar menyatakan surat tersebut daripada Norimi yang mengatakan akan datang pada hari penyampaian sijil di IKM bersama ayahnya nanti.
SINOPSIS KESELURUHAN
Mengisahkan kegigihan seorang remaja, Zahar yang menjadi pelatih di IKM dalam bidang pembuatan perabot. Zahar merupakan seorang remaja yang amat yakin dengan pegangan hidupnya dan ingin berdikari untuk mencapai cita-citanya. Perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai konflik tetapi dia terus berusaha memastikan konflik yang dialami tidak menghalang cita-citanya.  Kehadiran Suhaili dan Norimi dalam hidupnya mempertemukannya dengan konflik cinta, cemburu dan semacam dendam. Suhaili merupakan sahabat baiknya ketika di bangku sekolah seperti menghinanya kerana menyambung pelajaran di IKM dan meninggalkannya. Norimi pula cuba memahami keadaannya dan bersimpati tetapi agak cemburu. Dengan keyakinan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh serta sokongan keluarga, rakan-rakan dan pihak MARA, akhirnya Zahar berjaya mendirikan bengkel perabutnya sendiri.
TEMA
Kegigihan seorang remaja dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang usahawan.
-       Zahar gigih menuntut ilmu di IKM dalam bidang pertukangan kerana ingin mencapai cita-citanya untuk menjadi usahawan perabot yang cemerlang.
-       Kegigihan juga dapat digambarkan melalui usahanya membantu bengkel Pak Yusuf dalam menyiapkan tempahan setiapa kali pulang bercuti di kampung.
PERSOALAN
1. Usaha yang membawa kejayaan
-       Zahar sangat tekun berusaha menuntut ilmu di IKM dan menjalani latihan dalam loji yang akhirnya berjaya mempunyai bengkel perabotnya sendiri.
2. Minat dan kebolehan diri
-       Pak Yusuf membuka bengkel perabot secara kecil-kecilan walaupun dia tidak mempunyai sijil kemahiran dalam bidang tersebut.
-       Zahar sangat meminati bidang pertukangan dan banyak belajar daripada Pak Yusuf sehingga dia berjaya menjadi pelajar cemerlang di IKM
3. Konflik percintaan dalam kalangan remaja
-       Zahar mempunyai perasaan terhadap Suhaili tetapi Suhaili tidak menyukai Zahar kerana taraf pendidikan mereka berbeza.
-       Norimi menaruh perasaan kepada Zahar tetapi amat cemburu.
4. Keharmonian hidup di kampung
-       Majlis kenduri kesyukuran yang berlangsung di rumah Pak Karim dihadiri oleh semua orang kampung yang membantu dalam menyediakan hidangan untuk majlis tersebut.
-       Orang kampung bergotong-royong membantu Zahar untuk mendirikan bengkel perabotnya dan Zahar menjamu mereka dengan hidangan tengah hari.
5. Persahabatan yang ikhlas
-       Razali ikhlas membantu Zahar ketika Zahar menjalani latihan dalam loji dengan menumpangkan Zahar di rumahnya.
-       Zahar dan rakan-rakan di IKM serta di kampung saling memberi sokongan antara satu sama lain.